Sunday, October 18, 2009

DEEPAVALI


Hari Deepavali :( bahasa Hindi दिपावली ,bahasa Tamil : தீபாவளி) juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.

Menurut lagenda, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.

Kanak-kanak menyalakan pelita api dalam bentuk swastika sehari sebelum perayaan Deepavali disambut.

Perayaan ini disambut selama tempoh yang berbeza oleh komuniti berbeza. Walaupun hari-hari terasnya adalah sama dan jatuh pada hari-hari yang sama di seluruh Nepal dan India, namun hari-hari tersebut jatuh pada bulan-bulan Gregorian yang berbeza bergantung kepada versi kalendar Hindu yang digunakan dalam setempat. Versi Amanta ("tamat pada anak bulan") kalendar Hindu diamalkan sebagai kalendar kebangsaan India. Mengikut kalendar ini yang luas digunakan di India Selatan dan Maharashtra, keraian enam hari ini dibawa dari empat hari terakhir bulan Ashwayuja (Ashwin dalam bahasa Marathi ) dan dua hari pertama bulan baru Kartika. Menurut versi Purnimanta ("tamat pada bulan purnama") yang meluas di India Utara, Diwali jatih pada pertengahan bulan Ashwayuja/Ashvin. Dalam kalendar Gregorian , Deepavali biasanya jatuh pada bulan Oktober atau November.

Perayaan ini menandakan kemenangan kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan, serta penanggalan kegelapan rohani. Secara simbolik, Deepavali menandakan kembalinya semangat muhibah dan kepercayaan setelah lama menyepi, seperti yang diceritakan dalam Ramayana .

Perkataan Sanskrit "Deepavali" bermaksud satu pameran pelita-pelita yang menandakan kemenangan cahaya ke atas kegelapan. Oleh sebab pengetahuan bahasa Sanskrit merosot, nama perayaan ini sering diubah menjadi Divali, terutamanya di India utara.

Pada hari Deepavali, ramai yang memakai pakaian baru, berkongsi gula-gula dan makanan ringan. Beberapa komuniti niaga India utara memulakan tahun kewangan pada hari Divali, maka buku akaun baru akan dibuka pada hari ini.

Orang Hindu memperingati beberapa peristiwa mitos penting yang berkaitan dengan Deepavali:

  • Kembalinya Lord Rama ke Ayodhya: Deepavali juga meraikan kembalinya Rama, Raja Ayodhya, bersama ratunya Sita dan adindanyaLakshmana ke Ayodhya setelah 14 tahun hidup dalam buangan, disusuli satu perang yang menyaksikan Rama membunuh raja syaitan Ravana. Adalah dipercayai bahawa rakyat Ayodhya menyala pelita sepanjang jalan untuk menerangi laluan mereka dalam kegelapan. Oleh sebab Rama pergi dari India Selatan ke kerajaannya di India Utara, maka baginda merentasi bahagian selatan terlebih dahulu. Inilah sebabnya perayaan ini disambut sehari lebih awal di India Selatan. Di India Utara, perayaan ini disambut pada hari terakhir kalendar Vikram . Hari berikutnya menandakan tahun baru India Utara yang bergelar Annakut .
  • Pembunuhan Narakasura: Disambut sebagai Naraka Chaturdasi, dua hari sebelum hari Deepavali, hari ini memperingati pembunuhan Narakasura(Naragasuri dalam bahasa Tamil), seekor syaitan durjana yang mencetus huru-hara, oleh Satyabhama , isteri Raja Krishna (Maha Krishnan). ini berlaku di Dwapar Yuga ketika detik ini dalam avatar (jelmaan) Raja Krishna ini. Sebelum kematian Narakasura, dia meminta rahmat dari ibunya, Satyabhama (dipercayai sebagai satu avatar Bhudevi - ibu Narakasura), bahawa semua orang patut menyambut kematiannya dengan chaaya berwarna-warni.
  • Kezahidan Shakti: Menurut Skanda Purana, dewi Shakti mematuhi 21 hari kezahidan bermula daripada ashtami shukla paksha (hari kelapan tempoh pencerahan bulan) untuk memperoleh separuh jasad Raja Shiva. Vrata (kezahidan) ini dikenali sebagai kedhara vrata. Deepavali ialah hari pelengkapan kezahidan ini. Inilah harinya Raja Shiva menerima Shakti ke dalam separuh kiri jasadnya lalu menjelma sebagai Ardhanarishvara. Penganut-penganut yang kuat pegangan agamanya mematuhi vrata 21 hari ini dengan melakukan kalasha dengan 21 benang dalamnya dan 21 jenis persembahan selama 35 hari. Hari terakhirnya disambut sebagai kedhara gauri vrata.
  • Krishna menewaskan Indra : Govardhan Puja disambut sehari selepas Deepavali. Inilah harinya Raja Krishna menewaskan Indra, dewa petir dan hujan. Alkisah, Krishna memantau persediaan besar-besaran untuk persembahan tahunan kepada Dewa Indra dan menyoal ayahandanya Nanda mengenai ini. Krishna berbincang dengan para penduduk kampung mengenai apa sebenarnya 'dharma' mereka. Mereka adalah golongan petani, maka mereka patut menjalankan tugas mereka dan menumpu perhatian kepada pertanian dan perlindungan lembu-lembu mereka. Krishna terus mengatakan bahawa semua insan sepatutnya hanya mengerjakan 'karma' diri, dengan sebaik mana yang boleh dan bukannya berdoa untuk fenomena alam. Para penduduk kampung mempercayai Krishna, maka tidak meneruskan puja (prayer) istimewa itu. Maka itu, Indra murka lalu membanjiri kampung. Krishna kemudiannya mengangkat Gunung Govardhan dan mengangkatnya sebagai perlindungan kepada rakyatnya dan lembu-lembu mereka dari hujan. Indra akhirnya mengaku kalah dan memperakui keagungna Krishna. Aspek riwayat Krishna ini sungguhpun tidak diketahui ramai, namun sebenarnya menyediakan asas kepada falsafah 'karma' yang diterangkan secara terperinci dalam Bhagavad Gita .
  • Kembalinya Bali ke neraka:Dalam Bhavishyottara dan Brahma Vaivarta Purana , Deepavali dikaitkan dengan Raja Daitya, Bali, yang dibenarkan kembali ke bumi setahun sekali. Bagaimanapun, di Kerala inilah sebab 'Onam' disambut. Perayaan 'Onam' jatuh sekitar Ogos-September.

Walaupun Deepavali dikenali ramai sebagai "perayaan cahaya", namun erti esoteriknya yang terpenting ialah "kesedaran akan cahaya dalaman".

Yang penting dalam falsafah Hindu ialah penegasan bahawa terdapat sesuatu yang menjangkaui jasad dan minda jasmani yang tulen, abadi dan tak terhingga, iaitu Atman . Seperti mana kita menyambut kelahiran jasmani kita, Deepavali ialah sambutan Cahaya Dalaman, khususnya kesedaran akan cahaya ini yang mengatasi segala kegelapan (menanggalkan segala halangan dan melenyapkan segala kejahilan), menyedarkan individu akan sifat sejati dirinya, bukan dalam bentuk jasmani, sebaliknya dalm kenyataan yang abadi, tidak terhingga dan unggul. Dengan realisasi Atman, datangnya belas kasihan, kasih sayang sejagat, dad kesedaran seseorang akan segalanya (peningkatan pengetahuan), lalu membawa kepada Ananda (Kebahagiaan atau Keamanan Kedalaman).

Deepavali meraikannya melalui mercun, pelita, bunga, perkongsian gula-gula, dan sembahyang. Walaupun cerita di sebalik Deepavali berbeza dari tempat ke setempat, namun intipatinya tetap sama - untuk bergembira dalam Cahaya Dalaman (Atman) atau realiti yang mendasari segalanya (Brahman).

Di Malaysia , hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia. Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upucara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi , Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.

"Kolam" merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.

HARI KRISMAS


Menandakan kelahiran Jesus Christ yang bertarikh 25 Disember tahun pertama masehi, di Baitullaham. Ia adalah masa bagi keluarga dan rakan taulan berkumpul, memupuk cinta dan kasih sayang antara penganut Kristian.

Walaupun kemeriahan Krismas di negara kita agak kurang tanpa salji dan suhu sejuk, tetapi ia tetap dirayakan dengan meriah setiap tahun. Tambahan pula, Krismas adalah perayaan global dan sekular berbanding makna keaagamaan. Satu imej penting dalam perayaan Krismas ialah Santa Claus, orang tua gemuk berbaju merah dan berambut putih, yang datang dari kutub utara untuk memberi hadiah. Khabarnya Santa Claus berasal dari watak St. Nicholas, yang gemar memberi makan kepada kanak-kanak di masa Krismas.

Di Malaysia, masyarakat Kristian yang membentuk 7 peratus populasi mengamalkan ‘advent’ iaitu selang masa empat minggu sebelum Krismas diisi dengan bacaan doa, membaca Bible, dan berpuasa. Perkataan advent itu bermaksud ‘datang’ yang membawa maksud kelahiran dan kematian Jesus Christ.

Di Gereja Katolik, terdapat upacara membakar lima batang lilin, yang mewakili lima minggu sebelum Krismas. Setiap lilin berwarna berlainan, dan membawa maksud-maksud tertentu. Lilin pertama bernama lilin ‘Hope’, kedua ‘Peace’, ketiga ‘Joy’ dan keempat ‘Love’.

Apabila Krismas semakin hampir, rumah- rumah dihias indah indah,pokok Krismas didirikan, kad ucapan diedar, dan lagu-lagu perayaan dimainkan berulang kali. Terdapat juga hadiah yang diletak dibawah pokok Krismas.

Adalah menjadi kebiasaan jika kita melihat kumpulan koir menyanyi di gereja-gereja malah ada juga yang berpakaian Santa dan melawat kejiranan, rumah anak yatim, orang tua dan hospital bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik.

Malam Krismas ialah malam yang ditunggu-tunggu, sanak saudara akan berkumpul, masa untuk doa dan kesyukuran telah sampai. Biasanya ‘Nativity play’ atau pertandingan ratu cantik perayaan akan juga diadakan.

Di malam Krismas juga akan terdapat kumpulan ‘carol’ yang menyayi lagu-lagu keagamaan dan semangat dari pintu ke pintu. Apabila tiba tengah malam keluarga akan makan ‘supper’ sebagai upacara menghormati Jesus Christ.Dimasa ini jugalah mereka bertukar hadiah dan membuka hadiah masing-masing.

Pagi Krismas, penganut Kristian akan bersembahyang di gereja, sebelum pulang ke rumah dan menunggu kedatangan tetamu.Dalam konsep rumah terbuka sekarang, perayaan menjadi semakin meriah dengan kedatangan kaum lain. Antara juadah yang biasa dihidangkan ialah kekacang, buah buahan, pai, dan ayam belanda bakar,termasuk juga rendang dan kari.

Walaupun Krismas adalah sambutan sehari sahaja, tetapi semangat dan kemeriahannya berlangsung hingga ke tahun baru.

HARI GAWAI


Perayaan Gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Sarawak, tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta menuai Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun.

Jenis-jenis Hari Gawai yang lain termasuk Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Kenyalang, Gawai Mangkung Tiang, Gawai Manang dan Gawai Antu.

Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu.

Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Tuak (beras) ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil "Beras Pulut". Beras tersebut akan di rendam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai "Tajau". Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan dipanggil "Nasi Tapai". Namun pada masa kini proses pembuatan tuak berlainan sedikit iaitu selain dibuat menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu,gawai burung dan sebagainya. Selain daripada masyarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu juga membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak juga boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal,muntah sekiranya diminum berlebihan.

Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum bumiputera Sarawak, terutamanya Iban dan Dayak. Gawai Dayak merupakan hari menuai dan mula disambut secara besar-besaran semenjak 25 September 1964, apabila Gawai Dayak diisytiharkan sebagai hari perayaan rasmi. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri adalah pada 1 Jun 1965.

Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Selepas upacara ini, perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi. Sebatang pokok yang dikenali sebagai 'ranyai' akan didirikan di tengah ruang dan dihiasi dengan makanan dan minuman. Mereka juga akan melawat kaum keluarga dan sahabat handai yang dikenali sebagai 'ngabang'. Pakaian tradisi akan dikenakan, dan perhiasan manik orang ulu akan dikeluarkan untuk dipakai pada hari itu. Perawan Iban pula akan mengenakan perhiasan perak tradisi. Pesta Gawai Dayak ditutup berakhir dengan penurunan pokok ranyai tersebut.