Perayaan Gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Sarawak, tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta menuai Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun.
Jenis-jenis Hari Gawai yang lain termasuk Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Kenyalang, Gawai Mangkung Tiang, Gawai Manang dan Gawai Antu.
Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu.
Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
Tuak (beras) ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil "Beras Pulut". Beras tersebut akan di rendam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai "Tajau". Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan dipanggil "Nasi Tapai". Namun pada masa kini proses pembuatan tuak berlainan sedikit iaitu selain dibuat menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu,gawai burung dan sebagainya. Selain daripada masyarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu juga membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak juga boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal,muntah sekiranya diminum berlebihan.
Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.
Selepas upacara ini, perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi. Sebatang pokok yang dikenali sebagai 'ranyai' akan didirikan di tengah ruang dan dihiasi dengan makanan dan minuman. Mereka juga akan melawat kaum keluarga dan sahabat handai yang dikenali sebagai 'ngabang'. Pakaian tradisi akan dikenakan, dan perhiasan manik orang ulu akan dikeluarkan untuk dipakai pada hari itu. Perawan Iban pula akan mengenakan perhiasan perak tradisi. Pesta Gawai Dayak ditutup berakhir dengan penurunan pokok ranyai tersebut.
No comments:
Post a Comment