Saturday, October 17, 2009

TAHUN BARU CINA


Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.
Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 12 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".
Sambutan Tahun Baru Cina ditandakan oleh penziarahan ahli kelaurga saudara-mara dan sahabat, serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberi kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.
Pada hari-hari sebelum Tahun Baru, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina. Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.
Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia. Paling penting sekali, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang. Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" (Cina Tradisional: 開年, Cina Ringkas: 开年, kāi nián) menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung merekaMenurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri. Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan kerana hari ini dikenali sebagai "mulut merah" (赤口 chì kǒu), yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja. Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur. Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai (人日, pinyin: rén rì, Kantonis: yan yat), iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina. Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut. Hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina ialah hari yang ke – 15 yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié (Cina Tradisional: 元宵節, Cina Ringkas: 元宵节), atau Chap Goh Mei (十五暝) dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Valentine. Tāngyuán (Cina Tradisional: 湯圓, Cina Ringkas: 汤圆), bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.
Jamuan pertemuan semula (Cina Tradisional: 團圓飯, Cina Ringkas: 团圆饭 tuányuán fàn) diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat kaya dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan (Cina Tradisional: 魚, Cina Ringkas: 鱼, pinyin: yú) sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina nián nián yǒu yú (Cina Tradisional: 年年有餘, Cina Ringkas: 年年有余), yang bermakna "semoga ada lebihnya setiap tahun", yang sama bunyinya dengan "semoga ada ikan setiap tahun."



Luohan Zhai (lo han jai atau lo hon jai, bahasa Inggeris: Buddha's delight) ialah sejenis hidangan vegetarian yang terkenal dalam masakan Cina. Hidangan ini kadang-kala juga dikenali sebagai Luóhàn cài (Cina Tradisional: 羅漢菜, Cina Ringkas: 罗汉菜). Hidangan ini secara tradisinya dinikmati oleh sami Buddha yang mengamalkan pemakanan vegetarian, tetapi juga semakin laris di seluruh dunia sebagai hidangan yang biasa dijumpai sebagai pilihan vegetarian di restoran Cina.
Makanan ini terdiri daripada pelbagai sayur-sayuran dan ramuan-ramuan vegetarian yang lain (serta adakala juga makanan laut dan telur), yang dimasak dalam cecair berkicap dengan perasa-perasa lain sehingga lembut. Penggunaan ramuan-ramuan tertentu banyak berbeza di dalam dan luar Asia.



Yusheng, yee sang atau yuu sahng (Cina Ringkas: 鱼生; pinyin: yúshēng) ialah sejenis salad ikan mentah gaya Chaozhou. Yee sang biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah (khususnya salmon), yang bercampur dengan cebisan sayur-sayuran dan beraneka sos dan perasa, dan ramuan-ramuan lain. secara harifah, "yusheng" diterjemah menjadi "ikan mentah", namun boleh dianggap melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.



Jiaozi (transliteratsi bahasa Cina) atau gyōza (transliterasi bahasa Jepun) atau mandu (transliterasi bahasa Korea), ialah sejenis ladu Cina, dan mempunyai sejarah tidak kurang dari tujuh ribu tahun, amat popular di China dan Jepun dan juga di luar Asia Timur terutamanya di Amerika Utara.
Jiaozi biasanya terdiri daripada daging kisar dan/atau isian sayur yang dibalut dalam kepingan doh nipis yang digulung, kemudian ditutup dengan menekan sisinya agar rapat atau mengeriting. Jiaozi tidak patut dikelirukan dengan wantan: jiaozi mempunyai kulit yang lebih tebal dan bentuk piring berganda yang lebih leper dan oblat (serupa bentuknya dengan ravioli), dan lazimnya dimakan dengan sos celup cuka soya (dan/atau sos cili pedas); wonton pula kulitnya lebih nipis, berbentuk-sphera, dan biasanya disajikan dalam kuah. Doh untuk pembungkus jiaozi dan Wonton juga terdiri daripada bahan lain.


Pokok limau mandarin ialah sejenis tumbuhan buah-buahan. Nama sainsnya termasuk Citrus reticulata dan Citrus suhuiensis Hort. Citrus suhuiensis Hort digelar "limau langkat" dan "limau madu" di Malaysia.



Kuih bakul, nian gao atau kuih Tahun Baru Cina ialah makanan Cina yang diperbuat daripada pulut. Sungguhpun boleh dimakan bila-bila masa, secara tradisi kuih ini paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah pada masa perayaan ini kerana "nian gao" juga membawa erti "makin tahun makin tinggi.



Ang pau
Secara tradisi, ang pau atau sampul merah (Cina Tradisional: 紅包, Cina Ringkas: 红包, pinyin: hóng bāo, bahasa Hokkien (POJ): âng-pau; bahasa Hakka: hung bao; 利是, 利市 atau 利事, bahasa Kantonis: lai shi atau lai see) diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina, oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada muda-mudi yang belum berkahwin. Adalah satu kebiasaan untuk orang dewasa memberi sampul merah ini kepada kanak-kanak.
Sampul merah ini sentiasa mengandungi wang, sama ada dua ataupun seratus ringgit. Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula (bukan berakhir) dengan angka genap, kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian (帛金, bó jīn). Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan "kaya"), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau. Kadang-kala syiling coklat dimasukkan dalam angpau.

Pasar Tahun Baru
Pasar khas didirikan menjelang Tahun Baru untuk menjual barangan Tahun Baru. Pasar ini biasanya berbentuk pasar terbuka dan menampilkan barangan bunga, mainan, pakaian dan sebagainya kepada para pembeli untuk membeli hadiah untuk kunjungan tahun baru atau sebagai hiasan rumah.

Bunga api

Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Pada zaman moden pula, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun pada musim perayaan. Mercun biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru .

Pantang-larang sewaktu perayaan

Tuah baik
• Membuka pintu dan tingkap dianggap menjemput masuk tuah pada tahun baru.
• Membiarkan lampu menyala semalaman dipercayai menghalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun.
• Gula-gula dan manisan dimakan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya.
• Pembersihan rumah di setiap sudut wajib dilangsungkan sebelum hari tahun baru agar mudah menerima tuah bagi tahun yang menjelang.
• Ada orang yang percaya bahawa apa yang berlaku pada hari pertama mencerminkan peristiwa yang akan berlangsung sepanjang tahun. Maka, orang Asia mengambil kesempatan untuk berjudi pada hari pertama ini bagi menaruh harapan untuk menambah kekayaan.
• Memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud memijak orang yang bergosip tentang pemakainya.

Nasib Malang ("Tuah buruk")
• Membeli kasut baru dianggap pembawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi "kasut" sama bunyinya dengan perkataan "kasar" atau "sukar".
• Membeli seluar baru juga dipandang sebagai pembawa malang kerana perkataan Kantonis bagi "seluar" sama bunyinya dengan "pahit". (Namun ada yang menganggapnya sebagai positif, kerana perkataan bagi "seluar" dalam dialek itu juga sama bunyinya dengan "kaya".)
• Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi rambut sama bunyinya dengan hasil. Maka menggunting rambut juga dipandang sebagai "memotong hasil dalam bahasa Kantonis".
• Mencuci rambut juga dianggap sebagai mencuci keluar kekayaan (namun perihal kebersihan sering telah mengatasi tradisi ini.)
• Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.
• Perbualan mengenai kematian juga kurang sesuai bagi beberapa hari terawal Tahun Baru Cina kerana ini turut dianggap tidak bagus.
• Membeli buku juga membawa malang kerana perkataan sesetengah dialek Cina bagi "buku" sebunyi dengan perkataan bagi "kalah".

No comments:

Post a Comment